Mengenai artikel itu

Pengarang :

www.islamland.com

Tarikh :

Sat, Sep 13 2014

Kategori :

Muhammad (PBUH)

DAKWAAN KENABIAN MUHAMMAD S.A.W.

Penterjemah : Aina Syaqilah – Zikry Hamedi – Akillah Ain

Penyunting : Faried Adnan – Adam Kamaruddin 

 

DAKWAAN KENABIAN MUHAMMAD S.A.W.

BUKTI KENABIAN BAGINDA

 

 

Keperluan beragama adalah bersesuaian dengan keperluan manusia. Tuhan menjadikan pemberianNya lebih mudah sejajar dengan keperluan manusia yang semakin meningkat. Udara, air dan cahaya matahari adalah keperluan penting untuk kehidupan manusia, dengan itu Tuhan telah memberikan pemberianNya kepada setiap manusia tanpa kesusahan. Keperluan manusia yang paling besar adalah mengenali Maha Pencipta, oleh itu Allah telah memudahkan untuk mengenaliNya. Bukti kewujudan Tuhan, walaubagaimanapun berbeza dari segi sifatnya. Dengan caranya yang tersendiri, setiap ciptaan adalah bukti kewujudan Penciptanya. Sebahagian bukti adalah sangat jelas di mana orang awam boleh ‘melihat’ Penciptanya dengan serta merta, misalnya, kitaran hidup dan mati. Sebahagian yang lain “melihat” hasil kerja Pencipta menerusi keunggulan teori matematik dan penciptaan embrio.

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Quran 3:190]

Seperti kewujudan Tuhan, manusia memerlukan bukti untuk mengukuhkan kepercayaan kepada Nabi Muhammad yang bercakap menggunakan namaNya. Muhammad, seperti nabi-nabi sebelum baginda, mendakwa menjadi utusan Allah yang terakhir kepada manusia. Secara dasarnya, bukti kebenaran baginda adalah pelbagai dan banyak. Sebahagiannya adalah jelas, manakala sebahagian yang lain hanya jelas setelah diteliti dengan lebih dalam.

Allah berfirman di dalam al-Quran:

“…Belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu menjadi saksi atas tiap-tiap sesuatu?” [Quran 41:53]

Kesaksian Ilahi itu sendiri telah mencukupi tanpa memerlukan bukti-bukti lain. Kesaksian Ilahi bagi Muhammad terletak pada:

a)      Wahyu Allah sebelum ini kepada Nabi-nabi terdahulu yang menyatakan kemunculan Muhammad.

b)      Tindakan Tuhan: mukjizat dan ‘tanda’ yang Dia berikan untuk menyokong dakwaan Muhammad.

Bagaimana ini semua bermula pada awal kemunculan Islam? Bagaimana orang yang beriman yakin bahawa baginda adalah utusan Allah?

Orang pertama yang mempercayai kenabian Nabi Muhammad adalah isteri baginda sendiri, Khadijah. Apabila baginda pulang ke rumah menggigil ketakutan setelah menerima wahyu Allah, dia menenangkan baginda.

“Tidak! Demi Allah, Allah tidak pernah merendahkan kamu. Kamu menjaga hubungan baik dengan kerabatmu, membantu orang miskin, memuliakan tetamu dan membantu mereka yang dilanda musibah” [Sahih al-Bukhari]

Dia melihat suaminya sebagai seorang pesuruh Allah yang tidak layak dihina, kerana kebaikan baginda dari segi kejujuran, keadilan dan membantu golongan yang susah.

Sahabat rapat baginda, Abu Bakar yang telah mengenali baginda sepanjang hidupnya dan juga hampir sebaya, percaya di saat dia mendengar kata-kata “Aku pesuruh Allah” daripada mulut rasulullah, beliau tidak memerlukan sebarang pengesahan lain, melainkan hanya kisah hidup sahabatnya itu sendiri yang telah sedia maklum mempunyai budi pekerti yang cukup tinggi. 

Seorang lagi sahabat yang menyahut seruan baginda hanya semata-mata mendengarnya sahaja adalah Amr. Dia berkata:

“Aku mengira sebelum kedatangan Islam bahawa mereka berada dalam kejahilan dan sia-sia. Mereka menyembah berhala. Dalam pada itu, saya mendengar seorang lelaki berkhutbah di Mekah; maka aku mendatangi beliau.

Aku bertanya kepadanya: ‘Siapakah engkau?’ Beliau menjawab: ‘Aku seorang Nabi’ Aku bertanya lagi: ‘Siapakah Nabi?’ Beliau berkata: ‘Tuhan mengutuskan aku’ Aku berkata: ‘Dengan apa Dia menghantarmu?’ Beliau berkata: ‘Aku dihantar untuk menyambung tali persaudaraan, untuk menghapuskan berhala, dan untuk menyatakan keEsaan Tuhan supaya tidak ada yang menyekutukanNya (dalam beribadah).’

Aku berkata: ‘Siapa bersamamu dalam hal ini?’ Beliau berkata: ‘Seorang lelaki merdeka dan seorang hamba (merujuk kepada Abu Bakar dan Bilal, seorang hamba, yang telah memeluk Islam pada waktu itu).’ Aku berkata: ‘Aku berhasrat ingin mengikutimu’ “[Sahih Muslim]

Dimad adalah penyembuh padang pasir yang pakar dalam penyakit mental.  Semasa lawatan beliau ke Mekah dia terdengar penduduk Mekah berkata bahawa Muhammad (S.A.W.) adalah gila! Dengan keyakinan melalui kemahiran yang beliau miliki, dia berkata kepada dirinya, ‘Jika aku terserempak dengan lelaki ini, Tuhan akan menyembuhkannya melalui diriku sendiri.’ Dimad bertemu dengan Nabi dan berkata: ‘Muhammad, aku boleh merawat (seseorang) yang menderita penyakit mental atau terkena sihir, dan Tuhan akan menyembuhkan sesiapa yang Dia kehendaki melalui diriku sendiri. Adakah engkau berhasrat untuk disembuhkan ?’ Nabi Allah bersabda, sebagaimana ucap tama yang menjadi kebiasaan dalam khutbah-khutbah baginda :

“Sesungguhnya, puji-pujian dan syukur hanya untuk Allah, kami memujiNya dan meminta pertolonganNya. Dia yang diberi petunjuk Allah, tiada sesiapa yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang disesatkan tidak dapat diberi petunjuk. Aku naik saksi tiada yang layak disembah melainkan Allah, Dia yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, dan Muhammad adalah hambaNya dan RasulNya.”

Dimad yang terpesona dengan keindahan kata-kata tersebut, meminta baginda untuk mengulanginya, dan berkata, “Aku telah mendengar kata-kata ahli nujum, ahli sihir, dan penyair, tetapi aku sama sekali tidak pernah mendengar ayat-ayat seperti ini, yang menembusi sehingga ke dasar lautan. Hulurkan tanganmu supaya aku boleh berikrar setia kepadamu untuk Islam.”

Selepas Jibril menurunkan wahyu pertama kepada Nabi Muhammad, Khadijah, isteri baginda, membawa baginda melawat sepupu beliau yang sudah tua, Waraqah bin Naufal, seorang ulama Nasrani, untuk membincangkan perkara tersebut. Waraqah mengenal Muhammad melalui ramalan Injil dan mengesahkan:

“Ini adalah Penyimpan Rahsia (Malaikat Jibril) yang datang kepada Musa.” [Sahih al-Bukhari]

Wajah dikatakan mampu menjadi cerminan buat peribadi seseorang. Abdullah ibn Salam, ketua rabbi di Madinah pada masa itu, ketika mana melihat wajah Nabi setelah baginda tiba di Madinah, dan berseru:

“Apabila aku melihat wajahnya, aku tahu ia bukan wajah seorang pendusta!” [Sahih al-Bukhari]

Ramai daripada kalangan mereka yang berada di sekeliling Nabi yang tidak menerima Islam tidak meragui kebenaran baginda, tapi enggan berbuat demikian atas sebab-sebab yang lain. Bapa saudaranya, Abu Talib, yang telah membantu baginda sepanjang hidupnya, turut mengakui kebenaran Muhammad, tetapi enggan keluar daripada agama nenek moyangnya atas dasar malu kepada kaumnya dan juga disebabkan status sosial beliau.

 

Kewajaran Kenyataan Bahawa Muhammad Seorang Penipu

ANALISIS LOGIK KENYATAAN BAGINDA

Seperti yang dibincangkan sebelum ini, Muhammad telah mendakwa bahawasanya “aku adalah pesuruh Allah”. Samada dakwaan baginda itu benar atau dusta belaka, kita akan bermula dengan membuat suatu tanggapan bahawa beliau berdusta dan menyelidik segala kemungkinan yang muncul daripada hujah-hujah meragukan dari zaman dahulu dan sekarang, serta membincangkan sebahagian kesalahfahaman mereka. Jika tiada lagi kemungkinan bahawa baginda berdusta, maka dakwaan paling munasabah yang tinggal hanyalah kebenaran dalam kata-kata baginda. Kita juga akan melihat apa yang dinyatakan dalam Al-Quran berkenaan hal ini.  

 

ADAKAH MUHAMMAD SEORANG PENIPU?

Adakah mampu seorang penipu menyatakan tanpa ragu-ragu dan pasti dalam tempoh 23 tahun bahawa dirinya seorang nabi seperti Ibrahim, Musa dan Isa serta tiada nabi lain selepasnya? Dan kitab yang diturunkan kepada baginda (Al-Quran), adakah akan kekal kemukjizatannya sehingga ke akhir zaman?

Adakalanya penipu juga akan tergagap, barangkali dengan rakannya, atau mungkin sewaktu bersama dengan ahli keluarganya. Di mana-mana sahaja seorang penipu akan melakukan kesilapan. Ajaran Muhammad yang disampaikan melebihi dua dekad itu adakalanya akan bercanggah sesama sendiri. Akan tetapi, realitinya, apa yang kita lihat adalah kitab yang dibawa baginda sedia maklum bebas daripada pecanggahan dalaman (isinya), ajarannya kekal konsisten sepanjang misi dakwahnya, malahan baginda berani mengisytiharkan kerasulannya di tengah-tengah peperangan.

Kisah hidup baginda seperti buku yang terpelihara dibuka kepada semua untuk dibaca. Sebelum kedatangan Islam, baginda lebih dikenali penduduk sekitarnya sebagai seorang yang amanah, boleh diharapkan, jujur, berintegriti dan tidak menipu. Ini merupakan sebab mengapa orang Arab menggelar baginda ‘Al-Amin’ ataupun ‘Orang yang amanah’. Baginda ditegah sama sekali untuk menipu dan telah diperintahkan untuk memberi amaran larangan penipuan. Adakah mungkin untuk baginda menceritakan pembohongan berterusan selama 23 tahun? Penipuan yang sangat besar sehingga mengakibatkan baginda disisih masyarakat, walhal baginda dikenali sebagai seseorang yang tidak pernah sekalipun menipu tentang sesuatu? Ianya bertentangan dengan psikologi para pembohong.

Jikalau ditanya, mengapa seorang manusia itu sengaja mengkhabarkan dirinya sebagai Rasulullah dan kemudiannya menipu? Jawapan mereka mungkin salah satu dari perkara berikut:

1)      Kemasyhuran, kemuliaan, kekayaan dan darjat

2)      Pembentukan akhlak

Jika kita katakan bahawa Muhammad mengaku kerasulannya kerana kemasyhuran, kemuliaan dan darjat, kita akan lihat apa yang berlaku bertentangan. Muhammad sebelum kerasulannya memiliki darjat yang tinggi dalam semua aspek. Baginda dari keturunan puak Bani Hashim yang termulia dalam kalangan bangsawan, dan terkenal kerana kejujurannya. Selepas pengakuan kerasulannya, baginda disisih masyarakat. Selama 13 tahun di Mekah, baginda dan pengikutnya berhadapan dengan seksaan yang dahsyat, yang mana ada antara mereka yang syahid, diejek, disekat dan disisih masyarakat.

Ada pelbagai cara seseorang itu boleh memperoleh kemahsyuran dalam masyarakat ketika zaman Rasulullah, antaranya melalui keberanian dan puisi. Jikalau Muhammad mengaku dirinya yang mengarang Al-Quran (akan diterangkan kemudian), itu sudah mencukupi untuk namanya dan puisinya dipahat pada emas dan digantung di dalam Kaabah selamanya, menjadikan manusia dari serata dunia memujanya. Namun begitu, baginda telah mengisytiharkan bahawa baginda bukanlah pengarang wahyu tersebut, akan tetapi ianya daripada Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Tinggi, menyebabkan baginda diejek pada zamannya sehinggalah pada zaman kita sekarang.

Rasulullah merupakan suami kepada pedagang kaya-raya (Khadijah), dan baginda memiliki keselesaan hidup seadanya pada zamannya. Tetapi setelah kerasulannya, baginda menjadi  antara manusia yang paling miskin. Hari-hari baginda berlalu tanpa dapur api bernyala di rumahnya, dan ada kalanya kelaparan mendorong baginda ke masjid, mengharapkan bekalan makanan dan minuman. Pemimpin Mekah ketika itu menawarkan baginda kekayaan duniawi bagi memastikan baginda meninggalkan ajarannya. Bagi membalas tawaran itu, baginda membaca ayat Al-Quran. Berikut merupakan sebahagian dari ayat tersebut:

Sesungguhnya orang yang berkata: “Tuhan kami adalah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka sambil berkata: “Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu bersedih hati, dan bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan kepadamu”

 

“Kami pelindung-pelindung kamu dalam kehidupan dunia dan akhirat, di dalam syurga kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan apa yang kamu minta. Sebagai penghormatan kepadamu daripada Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebaikan sambil berkata: “Sesungguhnya aku termasuk golongan yang berserah diri”

 

Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah kejahatan dengan cara yang lebih baik, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap kamu akan menjadi seperti sahabat karib. Dan sifat-sifat yang baik itu akan dianugerahkan kepada orang yang sabar dan tidak dianugerahkan kepada orang yang mempunyai keberuntungan yang besar

 

(Surah Fussilat: 30-35)

 

Sekiranya seseorang mengatakan Muhammad menipu dan mendakwa kerasulannya atas dasar pembentukan semula akhlak dan agama masyarakat yang sarat dengan masalah sosial, hujah mereka ini sia-sia, kerana bagaimana seseorang boleh membentuk semula akhlak melalui pembohongan? Jikalau Muhammad sangat tekun dalam berdakwah dan menegakkan akhlak yang betul serta kehambaan kepada Tuhan Yang Esa, adakah Muhammad menipu dirinya sendiri dalam berbuat begitu? Andai apa yang kita nyatakan di atas adalah mustahil, maka satu satunya jawapan yang ada ialah, baginda berkata benar. Kemungkinan yang lain pula ialah baginda seorang yang tidak waras.  

 

ADAKAH BAGINDA SEORANG GILA?

Seseorang yang telah menangani sakit mental tahu seseorang itu boleh dikenalpasti dengan tanda-tanda mereka. Nabi Muhammad tidak menunjukkan sebarang gejala sakit mental sepanjang kehidupannya. Bahkan, dalam hidup Nabi Muhammad s.a.w,  tidak ada seorang pun rakan, isteri, atau ahli keluarga yang mengesyaki atau meminggirkan  baginda kerana baginda gila. Kesan penurunan ayat-ayat kepada Nabi, seperti keringat dan sebagainya, ianya adalah disebabkan oleh keamatan dari apa yang baginda terpaksa menanggung dan bukannya kerana baginda tidak sihat atau sakit mental.

Tambahan pula, Nabi Muhammad s.a.w berdakwah untuk tempoh yang lama dan membawa undang-undang yang tidak diketahui kelengkapan dan kecanggihannya kepada bangsa Arab jahiliyyah. Jikalau Baginda adalah seorang yang sakit mental, sudah semestinya penyakitnya akan dapat dikesan oleh masyarakat sekeliling untuk suatu tempoh selama 23 tahun baginda berdakwah.

Dalam sejarah, pernahkah seseorang yang gila menyampaikan seruan kepada masyarakat untuk menyembah Tuhan Yang Satu untuk tempoh sepuluh tahun dimana 3 tahun daripadanya dilakukan secara sembunyi bersama pengikutnya? Bahkan orang yang dikatakan gila ini menjadi pemerintah di negaranya. Lelaki gila manakah yang pernah memenangi hati dan minda masyarakat yang pernah berjumpa dengan dia? Lelaki gila manakah yang mendapat penghormatan daripada musuh-musuhnya?

Lebih-lebih lagi, sahabat terdekatnya, Abu Bakar dan Umar yang telah diiktiraf dengan kebolehan mereka, golongan bangsawan, berkemahiran, dan cerdas akalnya, mereka sanggup berkorban apa sahaja untuk agama yang dibawa oleh baginda. Pada satu ketika, Abu Bakar membawa semua harta benda beliau kepada Nabi Muhammad s.a.w, dan ketika ditanya “apa yang ditinggalkan untuk keluarganya?”, beliau menjawab, “saya meninggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya”.

Abu Bakar, seorang pedagang, selepas dipilih menjadi pemerintah orang-orang Arab selepas Nabi Muhammad s.a.w wafat. Walaupun beliau seorang khalifah, beliau menghabiskan hanya dua dirham ke atas dirinya dan keluarganya. Saidina Umar R.A yang menjadi penguasa Arab selepas Abu bakar dan menakhluk Syria, Mesir dan memecah-belahkan Empayar Roman dan Parsi. Dia dikenali sebagai seorang yang sangat teliti dalam pengadilannya. Bagaimana orang-orang yang hebat seperti beliau bercadang untuk menjadi pengikut Rasulullah s.a.w. yang dituduh mempunyai masalah mental?

Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)". Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat). (Quran 34:46)

Penduduk lama Mekah menolak seruan baginda dan mereka berbohong dengan tuduhan bahawa baginda seorang yang gila. Malah sehingga hari ini, ramai orang enggan menerima Nabi Muhammad sebagai utusan Allah hanya kerana baginda seorang yang berbangsa Arab dan sekadar memuaskan hati mereka dengan mengatakan bahawa baginda seorang gila yang juga berkomplot dengan syaitan. Kebencian mereka terhadap bangsa Arab diterjemahkan dengan penolakan dan kebencian  kepada baginda s.a.w yang juga berbangsa Arab walaupun Allah berfirman :

“(Tidak! Nabi Muhammad bukan penyair dan bukan pula seorang gila) bahkan ia telah membawa kebenaran (tauhid), dan mengesahkan kebenaran (tauhid) yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang terdahulu daripadanya).” (As-Saaffaat 37:37)

Walaupun orang Arab jahiliyyah mengetahui akan perihal dan peribadi Nabi Muhammad s.a.w, namun mereka tetap menuduh baginda seorang yang gila kerana mereka menganggap agama yang dibawa baginda merupakan satu percabulan terhadap agama nenek moyang mereka.

“Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata, berkatalah mereka (sesama sendiri): "Orang ini (Muhammad) tidak lain hanyalah seorang lelaki yang hendak menghalang kamu daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kamu"; dan mereka berkata lagi: (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah kata-kata dusta yang direka-reka"; dan berkatalah orang-orang yang kafir terhadap kebenaran ketika datangnya kepada mereka: "ini tidak lain hanyalah sihir yang terang nyata".

“Dan (tidak ada sebarang alasan bagi dakwaan mereka, kerana) Kami tidak pernah memberi kepada mereka Kitab-kitab untuk mereka membaca dan mengkajinya, dan Kami juga tidak pernah mengutus kepada mereka sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pemberi amaran (melarang mereka menerima ajaranmu).”

“Dan (ketahuilah bahawa) umat-umat yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan (Rasul-rasulnya), sedang mereka (yang mendustakanmu) itu tidak: mencapai satu persepuluh (dari kekayaan, kepandaian dan kekuatan) yang Kami beri kepada umat-umat yang terdahulu itu; setelah umat-umat itu mendustakan Rasul-rasulKu (mereka pun dibinasakan). Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya akibat kemurkaanKu (menimpa mereka).”

(Saba’ : 43-45)

 

ADAKAH BAGINDA SEORANG PENYAIR?

Allah menyatakan tuduhan mereka dalam al-Quran dan bertindak balas kepada mereka :

(Mereka menuduh Nabi Muhammad dengan yang bukan-bukan), bahkan mereka mengatakan: "(Muhammad) itu seorang penyair yang kami tunggu-tunggu saat kebinasaannya

".Katakanlah (wahai Muhammad): "Tunggulah kamu (akan apa yang kamu tuduh itu), maka sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang menunggu bersama-sama kamu (akan apa yang dijanjikan oleh Allah Taala)".

“Adakah mereka disuruh oleh akal fikiran mereka melemparkan tuduhan-tuduhan yang sedemikian itu, atau sememangnya mereka suatu kaum yang melampaui batas (dalam keingkaran dan kedegilannya)?”

(At-Tuur 52:30-32)

Allah menerangkan penyair pada masa itu supaya boleh dibandingan dengan Rasulullah s.a.w

“Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat - tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)?. Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya?”

“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.”

(Asy-Syu'araa' 26:224 - 227)

Penyair Arab telah terlalu menyimpang jauh daripada kebenaran, hanya tahu membicarakan tentang arak, wanita, perang dan masa luang, tidak seperti rasulullah s.a.w. yang menyeru kepada kebaikan tingkah laku, menyembah yang Maha Esa serta membantu golongan yang miskin dan kurang berkemampuan. Muhammad menuruti dan mematuhi segala apa yang diperkatakan, tidak sebagaimana penyair terdahulu atau ahli falsafah hari ini.

Al-Quran yang dibaca oleh Rasulullah itu tidak seperti mana-mana puisi daripada aspek gaya bahasanya. Penduduk Arab pada ketika itu cukup terkenal dengan peraturan-peraturannya yang ketat berkaitan rima, silibus dan penutup bagi setiap rangkap puisi yang diciptakan oleh mereka. Quran pula tidak memerlukan mana-mana peraturan, bahkan ketika itu, ayat-ayat Quran telah mengatasi mana-mana ayat yang pernah didengar oleh penduduk Arab sebelum ini. Bahkan sebahagian daripada mereka telah memeluk Islam setelah mendengar beberapa ayat Quran sahaja, disebabkan pemahaman yang mereka akui di mana sumber Quran ini cukup tersusun dengan cantik dan tidak mungkin ianya diciptakan oleh manusia. Muhammad juga dikenali tidak pernah mencipta sebarang puisi sebelum datangnya Islam atau setelah kenabian baginda. Bahkan, Muhammad sendiri tidak pernah menyukai perbuatan mencipta pelbagai jenis puis ini.

 

ADAKAH MUHAMMAD SEORANG AHLI SIHIR??

Nabi Muhammad tidak pernah mempelajari atau mempraktik sebarang jenis sihir. Tambahan pula, baginda sendiri mengeji golongan yang memperlajari sihir dan mengajarkannya kepada orang lain bagi memperolehi perlindungan.

Ahli sihir mempunyai hubungkait yang cukup kuat dengan kuasa jahat atau syaitan. Interaksi inilah yang membolehkan ahli sihir memperdayakan orang lain. Kuasa jahat ini hanya mengajak manusia ke arah penipuan, perkasa yang berdosa dan tidak bermoral, kejahatan, bahkan mereka turut memusnahkan keluarga.

“Mahukah Aku beritakan kepadamu, kepada siapa syaitan-syaitan ini diturunkan? Mereka (syaitan) turun kepada setiap pendusta yang banyak berdosa. Mereka menyampaikan hasil pendengaran mereka, sedangkan kebanyakan mereka orang-orang pendusta.” (Quran 26 : 221-223)

Nabi Muhammad cukup dikenali sebagai seorang yang acapkali bercakap benar dan setiap kata-kata baginda sudah pastinya bukan perkara yang dusta. Baginda menyeru kepada moral yang baik dan tingkah laku yang beradab. Tidak ada mana-mana ahli sihir di dunia ini yang membawa nashkah seperti Quran atau peraturan seperti Rasulullah s.a.w.